PENGUMUMAN kerajaan melancarkan rangkaian kedua 5G dalam Belanjawan 2025 dapat meningkatkan daya usaha pelaburan dan daya saing dalam bidang teknologi komunikasi dan multimedia (ICT) di negara ini.
Ia merupakan usaha penggalak yang dapat dimanfaatkan apabila Malaysia mempengerusikan Persidangan Negara-negara ASEAN tahun depan.
Berikutan dengan hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diperuntukkan dana sebanyak RM120 juta bagi menambah baik capaian internet di universiti awam dan agensi-agensi kerajaan.
Jalinan Kerjasama negara-negara ASEAN dalam pemeteraian Pelan Induk Digital ASEAN (ADM2025) berhubung dengan penjanaan ekonomi digital dalam perkongsian teknologi sistem maklumat baru-baru ini adalah suatu anjakan paradigma yang boleh memberi kesan pragmatik kepada dunia ASEAN.
Berikutan cabaran pasca pendemik Covid-19, beberapa tahun mendatang ini pasti memberikan suatu gambaran keperluan drastik dalam kalangan negara-negara ASEAN menambah baik teknologi sistem maklumat yang menjadi teras perhubungan ekonomi digital bagi setiap anggota negara.
Perkembangan teknologi maklumat yang bersandarkan kepada sistem ekonomi digital ini disifatkan oleh Menteri-menteri Komunikasi ASEAN dalam persidangan tersebut sebagai suatu pemacu kerjasama yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan kebangkitan ekonomi 5.0 yang mencetuskan fenomena banyak peluang pekerjaan dalam dunia digital dan perindustrian teknologi tinggi di rantau ASEAN dan antarabangsa.
Tidak menghairankan sekiranya dunia teknologi digital hari ini telah banyak mengubah landskap pekerjaan dalam sektor perindustrian yang menggantikan khidmat tenaga sumber manusia kepada teknologi rebotik yang lebih murah dan produktif walaupun hal ini mendapat tentangan daripada pertubuhan-pertubuhan NGO dunia.
Justeru itu, jalinan kerjasama ASEAN dalam membentuk suatu lingkaran perkongsian data amat diperlukan bagi mengimbangi keperluan sumber manusia sejagat dengan kebangkitn teknologi robotik dalam dunia pekerjaan hari ini.
Ini termasuklah membuat penambahbaikan terhadap sistem sekuriti data digital atau internet yang sering menjadi ancaman kepada dunia teknologi maklumat kerajaan dan perniagaan di rantau ASEAN.
Selain itu, penambahbaikan terhadap capaian internet 5G juga merupakan suatu cabaran terhadap kebangkinan dunia digital yang menyaksikan perluasan teknologi Internet di sepelusuk Kawasan dalam rantau ASEAN dengan menggunakan teknologi capaian yang murah, berkesan dan meluas.
Kebangkitan teknologi maklumat berprestasi tinggi juga merupakan teras kepada sumber penjanaan rantaian ekonomi digital dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk mengukuhkan penguasaan pemasaran maklumat dan mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia.
Lebih-lebih lagi apabila negara akan merebut peluang perluasan ekonomi pemasaran global yang telah lama terkesan akibat penularan Covid-19 ini. Fenomena ini juga memerlukan sokongan negara-negara ASEAN untuk menyasarkan teknologi rangkaian maklumat ini kepada komuniti.
Kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan ASEAN tahun 2025 menyaksikan pemerkasaan dan perluasan teknologi 5G nanti akan memberi keuntungan kepada negara-negara anggota, terutamanya dalam sektor ekonomi dan pendidikan global.
Satu hal lagi ialah kesediaan negara-negara ASEAN untuk bekerjasama mendirikan suatu empayar rangkaian teknologi pendidikan digital yang dibangunkan secara drastik bagi memenuhi keperluan Pendidikan bersemuka atau fizikal yang terjejas akibat daripada era pandemik ini.
Fenomena ini dengan sendirinya mewujudkan suatu perkongsian rantaian teknologi pembelajaran dan pengajaran berasaskan kepada keperluan insfrastruktur yang lengkap bagi menampung keperluan internet dan kandungan maklumat versatile boleh dinikmati oleh para pengguna seluruh dunia.
Bayangkan lebih banyak universiti atau pusat pendidikan digital akan dibina dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan pelajar yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian kerana pembatasan pergerakan sepanjang era pandemik ini.
Dalam erti kata lain, kerancakan dunia pendidikan digital ini akan menyaksikan suatu fenomena pertembungan industri pendidikan yang dimonopoli oleh empayar perniagaan pendidikan global yang bersaing untuk memiliki reputasi tinggi.
Memandangkan bidang pendidikan ini tidak membataskan kepada instrastruktur fizikal, kendalian pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat dalam talian menggunakan kos yang lebih efisyen dan ruang mobiliti yang lebih memudahkan proses pendidikan.
Justeru, negara-negara ASEAN seharusnya bangkit memberikan komitmen tinggi untuk memelihara kelestarian jalinan perdagangan ilmu ini dengan mengambil peluang secara optimum menguasai bidang perdagangan digital ini dengan lebih optimis terhadap penyediaan lebih banyak ruang dan peluang untuk menembusi industri teknologi maklumat berkemahiran tinggi.
Oleh TS Dr Syed Agil Alsagoff
Penulis adalah Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia