KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman hari ini mengesahkan telah menerima sebanyak 51 laporan polis sejak awal tahun ini berkaitan dakwaan sindiket skim pelaburan mata wang asing rentas sempadan sebuah syarikat membabitkan lebih 300 orang mangsa.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan itu membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM11,990,768.
Katanya, siasatan setakat ini mendedahkan skim itu didalangi beberapa individu dari Malaysia dan Indonesia serta menggunakan syarikat PT. Sentratama Investor Future beralamat di republik berkenaan sebagai broker menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.
“Selain itu, dua syarikat lain turut dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka kepada pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ramli, sehingga kini, dua individu iaitu seorang warga Indonesia dan seorang warga tempatan disyaki terlibat dengan skim yang sama telah ditahan pada 9 September dan 25 Oktober lalu.
Kes berkenaan sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan.
“Mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket ini dinasihatkan untuk tampil segera membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran membolehkan tindakan segera diambil.
“Dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan, polis mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.
“Sila dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti portal semakmule CCID, alert list Bank Negara Malaysia (BNM), dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” tegas Ramli.-MalaysiaGazette