SHAH ALAM – Seorang remaja berusia 15 tahun dilaporkan melarikan diri dari rumah di Taman Bellina, Kampung Sungai Kandis di sini sejak semalam.
Sehingga hari ini, pelajar tingkatan tiga, Muhammad Syahir Mohammad Sharul Nizam itu sudah menghilangkan diri selama 24 jam.
Menurut bapanya, Mohammad Sharul Nizam, beliau telah menghubungi pemandu bas sekolah dan mendapati anaknya tidak ada di dalam bas semalam.
“Selepas itu saya ada menerima WhatsApp daripada anak saya yang meluahkan perasaan tidak berpuashati dan mahu keluar rumah untuk tinggal bersama individu tidak dikenali,” katanya yang juga seorang wartawan.
Menurutnya, anaknya mungkin telah diajak untuk keluar dari rumah oleh seseorang yang dipercayai rakannya.
Sehubungan itu, Mohammad Shahrul telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Selain itu, beliau mengesyaki anaknya dipengaruhi oleh rakan-rakan mayanya kerana sering bermain games PUBG bersama mereka secara dalam talian.
Sehubungan itu, beliau merayu sesiapa yang mengetahui di mana anaknya berada supaya menghubungi di talian 019-329 2616 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette