KUALA LUMPUR- Pemaju projek yang mempunyai projek perumahan terbengkalai atau gagal menyiapkan kediaman sebagaimana dipersetujui di dalam kontrak mungkin akan disekat daripada keluar negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cadangan itu boleh dilakukan menerusi penggubalan rang undang-undang baharu Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) bagi menggantikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
Tambah beliau, akta baharu yang akan turut diperluaskan merangkumi pemajuan harta tanah komersial disasarkan untuk dibentang di Parlimen pada suku kedua 2025.
“Manakala RPDA kelak akan menambahbaik perlindungan kepentingan pembeli rumah khususnya bagi pembeli yang membeli unit kediaman komersial dan pembeli yang membeli kediaman yang dibina di atas tanah wakaf.
“Selain itu, pemanjangan tempoh pelindungan kecacatan kepada pembeli kediaman juga akan membolehkan pembeli mendapat manfaat di atas pelindungan yang dikeluarkan oleh pemaju perumahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), Kor Ming berkata, kajian dan pindaan baharu sahaja bermula pada tahun ini yang bertujuan menangani isu-isu perundangan yang berbangkit berkaitan pelaksanaan akta dan peraturan- peraturan yang sedia ada.
Antara lain ia turut mengkaji hal-hal seperti pengurusan strata di bawah bidang kuasa Persekutuan; pemisahan kuasa antara akta 757 dan akta hakmilik strata 1985 (akta 318); penambahbaikan peruntukan berkaitan pemajuan berfasa, pembangunan bersepadu, campuran, strata bertanah, komuniti berpagar dan berpengawal dan petak en bloc; mengkaji kaedah alternatif mengenai kawalan, penguatkuasaan, belanjawan dan penentuan caj; semakan bersama pindaan Akta 118, Akta 318 dan penyelarasan dengan akta baharu; dan memperkasa tribunal dengan penetapan bidang kuasa yang lebih jelas dan komprehensif serta keperluan tribunal rayuan.
Menurut beliau, KPKT mensasarkan kajian akan selesai pada 2026 dan pembentangan di Parlimen dibuat selepas penggubalan selesai dimuktamadkan.
Sementara itu beliau turut mengumumkan 862 projek atau 102,808 unit perumahan swasta yang berada dalam kategori sakit dan terbengkalai dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM85.82 bilion berjaya dipulihkan dalam tempoh dua tahun. -MalaysiaGazette