KUALA LUMPUR – Menyedari kesulitan yang dihadapi oleh Rakan Usahawan akibat banjir, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengambil langkah proaktif dengan menawarkan penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan selama enam bulan ke atas prinsipal dan faedah.
Inisiatif ini berkuatkuasa sejak akhir bulan lalu dan dianggarkan melibatkan jumlah moratorium sebanyak RM5.4 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, setakat ini sebanyak 65 Rakan Usahawan PUNB yang beroperasi di Terengganu, Kedah, dan Kelantan telah dikenal pasti terjejas akibat bencana alam ini.
“Di samping itu, Pegawai Pemantau PUNB sedang aktif menghubungi Rakan Usahawan PUNB untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membantu mereka dalam membuat tuntutan insurans.
“Kami juga sedang dalam proses mengenal pasti lebih ramai Rakan Usahawan yang terjejas dan meminta mereka yang terkesan untuk menghubungi pegawai pemantau masing-masing bagi mendapatkan bantuan nasihat untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Izwan, PUNB turut menawarkan pembiayaan perniagaan PROSPER SAFE (Bantuan Berkelanjutan untuk Banjir dan Bencana Alam) kepada Rakan Usahawan PUNB yang terjejas akibat banjir atau bencana alam.
Katanya, PROSPER SAFE menawarkan pembiayaan sehingga RM350,000 merangkumi skop pembiayaan untuk stok, mesin dan peralatan, perbelanjaan operasi serta kos pengubahsuaian premis yang terjejas atau kos pemindahan lokasi perniagaan ke kawasan yang lebih selamat.
PROSPER SAFE dilancarkan sejak Januari 2022 dan sehingga November 2024, sebanyak RM1.24 juta pembiayaan telah diluluskan dan disalurkan.
“Rakan Usahawan yang ingin memohon pembiayaan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada Pegawai Pemantau masing-masing.
“PUNB sangat prihatin dengan keadaan Rakan Usahawan PUNB dan berharap inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan ini dapat meringankan beban kewangan mereka agar mereka dapat kembali fokus kepada pemulihan perniagaan masing-masing.” katanya. – MalaysiaGazette