KUALA LUMPUR – Lesen perniagaan untuk bazar Ramadan tahun depan akan diselenggara sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengurusan lebih tersusun dan menawarkan tempat serta harga yang lebih kompetitif kepada peniaga.
“Keputusan ini dibuat susulan aduan daripada peniaga mengenai harga tapak yang terlalu mahal dan sebagainya,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Setahun Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Auditorium DBKL hari ini.
Menurut beliau, bazar kali ini lebih unik kerana mendapat kerjasama daripada badan-badan korporat untuk memastikan bazar bukan sahaja memenuhi keperluan untuk peniaga dan pengunjung malah akan lebih cantik dan seragam serta kebersihan terjaga.
“Kita telah menubuhkan jawatankuasa khas di bawah Datuk Bandar untuk melihat keperluan bazar Ramadan bagi tahun depan.
“DBKL juga telah mengenal pasti lokasi-lokasi bazar dan memulakan kerja-kerja awal bagi memastikan bazar ramadan berjalan dengan baik,” ujarnya.
Semalam, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi), Ismadi Sakirin telah memaklumkan 42 lokasi bazar Ramadan telah diambil alih bagi meneruskan penganjuran Program Bazar Ramadan.
Menurutnya, penganjuran program ini selari dengan Sambutan Hari Sifar Sisa Antarabangsa yang disambut pada 30 Mac nanti. – MalaysiaGazette