Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bercakap pada sidang media mengenai Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2025 di Menara MAIWP, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengumumkan Bajet 2025 bertemakan Melestari Ummah Wilayah Sejahtera, di Bangunan MAIWP di sini hari ini.

Bajet berkenaan telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 10 Oktober 2024 dirangka selaras dengan Pelan Strategik MAIWP 2022-2025.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, bajet kali ini akan memberi fokus kepada kesejahteraan asnaf, memperkasa pendidikan, melaksanakan transformasi digital serta membangunkan aset ummah.

“Anggaran pendapatan MAIWP untuk tahun hadapan dijangka akan meningkat sebanyak 12 peratus, kepada RM1.56 bilion. Perbelanjaan yang dirancang pula dianggarkan berjumlab RM1.67 bilion, dengan RM1.34 bilion diperuntukkan untuk agihan zakat, RM246 juta bagi pengurusan, dan RM87 juta untuk pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Menara MAIWP semalam.

Peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai skim bantuan zakat, memperkukuh program pendidikan, membangunkan hartanah, serta mengaplikasi teknologi terkini demi meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Sebahagian besar peruntukan agihan zakat sebanyak RM1.34 bilion akan difokuskan kepada pemerkasaan asnaf, pembangunan modal insan dan pelaksanaan pelbagai skim bantuan seperti bantuan kewangan, makanan, perubatan, serta perlindungan.

“Inisiatif ini turut merangkumi program keusahawanan dan bantuan pendidikan bagi meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan,” tambahnya.

Mohd Na’im menambah MAIWP juga akan memberi insentif khas berupa bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada 33,000 penerima, dengan jumlah keseluruhan RM16.5 juta.

Bantuan ini akan disalurkan selewat-lewatnya 31 Disember akan datang.

“Ini menunjukkan komitmen MAIWP dalam mendengar keluh kesah rakyat terutamanya golongan rakyat yang berada di Wilayah Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here