Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir bagi perbicaraan saman terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng membantah permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan pembayaran penghakiman berjumlah RM1.4 juta kepada beliau dalam kes saman fitnah.

Menurut beliau, jumlah penghakiman tinggi yang diputuskan terhadap bekas Perdana Menteri bukan keadaan khas yang mewajarkan pembayarannya ditangguhkan.

“Muhyiddin merupakan individu yang kaya dan memiliki banyak aset serta mampu membayar jumlah penghakiman tersebut,” ujar beliau menerusi afidavit yang difailkannya semalam.

Guan Eng menjawab permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan pembayaran jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos RM50,000 dan alokatur RM2,000 sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan itu didengar di Mahkamah Rayuan.

Permohonan Muhyiddin akan didengar di Mahkamah Tinggi, di sini,  di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain, Isnin ini.

Dalam afidavit itu, Guan Eng berkata, Muhyiddin telah membuat perisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujarnya, Muhyiddin mendahului senarai Pengisytiharan Aset Kabinet SPRM yang diterbitkan pada Julai 2020 dengan pendapatan bulanan berjumlah RM93,841.65 dan nilai besar aset yang dimiliki diisytiharkan antara RM10 juta hingga RM15 juta.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memohon agar cadangan defendan untuk mendepositkan 50 peratus jumlah penghakiman, ditolak kerana Muhyiddin tidak menghadapi kesukaran menyediakan jumlah penghakiman.

Kata Guan Eng, sebelum notis kebankrapan terhadap Muhyiddin difailkan di mahkamah, beliau memberi peluang kepada defendan dengan memberi masa yang mencukupi dan munasabah iaitu kira-kira 10 hari.

Sementara itu, ujar beliau, Muhyiddin yang merupakan bekas Perdana Menteri dan ahli politik terkemuka perlu menunjukkan contoh baik dengan mematuhi keputusan mahkamah yang telah mendapati defendan memfitnahnya.

“Dalam kes ini, defendan mempunyai lebih daripada sebulan untuk mematuhi penghakiman tersebut.

“Bagaimanapun, defendan hanya memilih untuk memfailkan permohonan ini selepas saya memberi peringatan terakhir kepadanya pada 4 Disember lalu.

“Defendan tidak menunjukkan sebarang usaha untuk mematuhi penghakiman mahkamah dengan mendepositkan jumlahnya kepada saya atau membayar kepada akaun peguam,” katanya.

Muhyiddin memfailkan permohonan itu pada 9 Disember lalu atas alasan jumlah RM1.4 juta itu adalah besar dan beliau memerlukan masa untuk mengumpul jumlah tersebut.

Ujar Muhyiddin, beliau bersedia mendepositkan 50 peratus daripada jumlah penghakiman dalam akaun simpanan tetap yang akan dipegang oleh peguam Guan Eng sementara menunggu pendengaran dan pelupusan rayuan.

Guan Eng memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin pada hari sama (9 Disember) kerana gagal membayar jumlah penghakiman yang diperintahkan oleh mahkamah.

Pengerusi DAP itu memohon Muhyiddin membayar RM1.4 juta seperti dituntut dalam penghakiman Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu dalam tempoh tujuh hari selepas penyampaian notis tersebut.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Guan Eng kerana menfitnah Ahli Parlimen Bagan itu berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast