MELAKA – “Kalaulah nyawa Nur boleh digantikan dengan Harraz (Noah), Nur mahu tebus kesalahan itu walaupun Ainol (ibu Harraz Noah) berulang kali memaafkan dan tidak menyalahkan Nur.
“Ainul dan Nizam (bapa) selalu minta Nur bersabar dengan ketentuan Allah kerana semuanya sudah tertulis tidak cepat atau lambat walau sesaat sedangkan mereka sendiri sudah puas berendam air mata,”.
Itu kekesalan diluahkan Nur, 27, pengasuh bayi lelaki berusia 6 bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam selimut di rumahnya di Merlimau, Jasin di sini, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi Isnin lalu.
Menurut ibu kepada dua anak kembar berusia empat tahun itu, ia tragedi hitam yang tidak mungkin dapat dilupakan sejak mula menjaga anak sulung pasangan Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29 dan Ainol Izzah Raslan 25, sejak berusia tiga bulan.
“Waktu Ainol beritahu Harraz sudah tiada ketika saya menemaninya di hospital Isnin lalu, saya rasa bersalah yang tiada penghujung kerana sudah menganggap Harraz yang disapa adik seperti anak sendiri.
“Waktu kejadian saya langsung tidak selimutkan Harraz tapi mungkin dia dapat capai selimut yang berada di atas katil ketika saya sedang mengemas rumah selepas menidurkannya,” katanya hiba ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambahnya, sejak kejadian itu, hubungannya dengan Ainol yang baru dikenali juga semakin akrab dan saling memberi sokongan emosi selain memintanya tidak mengendahkan tuduhan netizen di media sosial yang tidak faham situasi kejadian.
“Sampai ke hari ini Nur akan menangis bila kenangkan tragedi itu dan setiap hari Ainol akan pujuk Nur supaya berhenti salahkan diri kerana Allah juga boleh ambil nyawa Harraz walaupun berada dalam jagaannya bila sampai masanya.
“Nur bersyukur kerana Ainol dan Nizam sentiasa beri semangat pada Nur sedangkan peritnya jiwa mereka hanya Allah yang tahu.
“Mungkin mudah orang lain bercakap apabila tidak berada di tempat Nur, serta Ainol dan Nizam yang juga perlu bekerja untuk komitmen hidup mereka,” tambahnya.
Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu disedari pengasuh berkenaan apabila mendapati Harraz sudah tidak bernafas dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi mukanya.
Ainol Izzah dihubungi pengasuh berkenaan kira-kira pukul 11.40 pagi memaklumkan kejadian dan menangis teresak-esak sebelum meminta bantuan ibunya membawa bayinya itu Klinik Kesihatan Merlimau.
Bayi berkenaan bagaimanapun dirujuk ke Hospital Melaka dan doktor memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia. – MalaysiaGazette