WASHINGTON – Universiti seperti Harvard, USC dan Cornell menggesa pelajar antarabangsa untuk pulang ke kampus sebelum Presiden Donald J. Trump mengangkat sumpah pada 20 Januari depan.
Semasa beliau menjadi Presiden sebelum ini, Trump melaksanakan sekatan perjalanan yang menyasarkan tujuh negara majoriti Islam dan kemudian mengembangkan senarai itu dengan menambah bilangan negara.
Beliau telah melahirkan hasrat untuk melaksanakan semula langkah sama apabila kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).
Pejabat Pendidikan Global di Cornell University mengeluarkan amaran dalam laman sesawangnya pada bulan lepas dengan menyatakan: “Sekatan perjalanan mungkin dikuatkuasakan tidak lama selepas angkat sumpah,”.
Pejabat tersebut menasihatkan para pelajar kembali ke AS sebelum kelas bermula pada 21 Januari depan.
“Sekatan mungkin melibatkan warga dari negara sasaran pentadbiran terdahulu seperti Kyrgyzstan, Nigeria, Myanmar, Iran, Libya, Korea Utara, Syria, Venezuela, Yemen dan Somalia.
“Negara baru yang mungkin ditambah dalam disenaraikan ini, khususnya China dan India,” katanya.
Univerisiti di AS turut mengingatkan para pelajarnya untuk menjangka kelewatan ketika berada di pintu masuk sempadan.
Dalam satu majlis pada September lalu, Trump mengisytiharkan rancangannya untuk ‘menutup sempadan kami dan mengembalikan semula sekatan perjalanan’ daripada beberapa buah negara majoriti Islam.
Beliau juga berikrar untuk ‘mengharamkan penempatan semula pelarian dari kawsanan seperti Jalur Gaza’.
Terdapat lebih 1.1 juta pelajar antarabangsa mendaftar di kolej dan universiti di AS untuk kalender akademik 2023-24.
Warga India merupakan pelajar teramai mendaftar di kolej dan universiti AS diikuti China yang mana gabungan kedua-dua negara tersebut adalah lebih separuh daripada jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa di AS dengan Korea Selatan berada pada kedudukan ketiga. – Agensi