KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Shah Alam dijadual mengadakan sidang akhbar jam 3 petang ini, dijangka menjawab dakwaan pembubarannya.
Sidang media ini akan diadakan di Seksyen 7, Shah Alam dipercayai memberikan penjelasan berhubung kemelut melanda Bersatu Bahagian Shah Alam yang menjurus kemungkinan pengumuman keluar parti oleh pemimpin dan ahli bahagian berkenaan.
Sebuah akhbar media arus perdana hari ini melaporkan bahagian itu akan terbubar apabila kesemua anggota dan ahli jawatankuasanya dikatakan mahu keluar parti.
Perkara itu didedahkan bekas ahli jawatankuasa bahagian, Mohamad Anuar Giman yang mendakwa akar umbi dari 10 cawangan termasuk bekas pimpinan di peringkat bahagian kecewa dengan penangguhan pemilihan sekali lagi.
Terdahulu, pemilihan peringkat bahagian itu pada 2 November lalu ditangguhkan selepas berlaku rusuhan susulan pertikaian terhadap tempoh masa kiraan undi yang melibatkan 128 perwakilan serta keraguan ke atas jumlah kertas undi dikeluarkan.
Berikutan itu, kiraan semula undi dilakukan, namun dipercayai mengambil masa terlalu lama sehingga pukul 12.30 tengah malam untuk menentusahkan jumlah kertas undi dan pemilihan dilakukan.
Bagaimanapun, terdapat perwakilan yang tidak berpuas hati kemudian bertindak membuka undi tersebut menyebabkan peti undi dirampas dan dibawa ke balai polis untuk disimpan sehingga siasatan terhadap pemilihan tersebut selesai.
Persidangan Bersatu Bahagian Shah Alam ketika itu menyaksikan pertembungan antara Mohamad Fadzil Ahmad dan Mohd. Idris Abdul Halim bagi merebut jawatan ketua bahagian. – MalaysiaGazette