Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini menyampaikan Anugerah Ikon Mualaf kepada Shamala Nair Balen pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di Convention Centre Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 DISEMBER 2024

SHAH ALAM – Bilangan keluarga asnaf di Selangor dijangka mencecah 157,000 menjelang 2030 berdasarkan analisis yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Berikutan jangkaan itu, LZS telah memulakan pelbagai inisiatif baik dari segi kutipan mahupun agihan zakat bagi memenuhi keperluan pada masa hadapan termasuklah dalam aspek pembangunan asnaf, kata Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Beliau berkata, ketika ini LZS telahpun menyantuni hampir 74,000 keluarga asnaf fakir dan miskin, serta lebih 4,000 individu mualaf di Selangor.

Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Ambrin bin Buang (kanan) merasmikan Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di Convention Centre Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 DISEMBER 2024

“Selain daripada bantuan-bantuan utama yang diberi oleh LZS, adalah menjadi tanggungjawab LZS juga untuk memastikan golongan asnaf mendapat akses kepada pendidikan dan kemahiran yang berkualiti agar mereka juga berpeluang untuk mengembangkan potensi yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang (MAAC) 2024, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang.

Mohd Sabirin berkata, antara usaha-usaha yang dilaksanakan oleh LZS bagi memperkasa kemandirian dan keupayaan asnaf dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan adalah menerusi aspek pendidikan.

Jelasnya, LZS ada menyediakan skim bantuan keperluan pendidikan kepada pelajar asnaf di sekolah rendah dan menengah.

Di samping itu, LZS turut menempatkan anak asnaf melanjutkan pengajian di insitusi pengajian tinggi dan institusi latihan tempatan, selain menyediakan bantuan huffaz dan dermasiswa luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini menyampaikan Anugerah Cemerlang Kemahiran dan Kerjaya kepada Norhayati Maslinda Chew Asmawie pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di Convention Centre Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 DISEMBER 2024

“Aspek lain yang turut disediakan iaitu bantuan insan dan ekonomi yang mana ia dilakukan melalui pembangunan kerjaya, pembangunan keusahawanan dan program kerohanian.

“Kita juga mengadakan pembangunan mualaf di mana dengan mempertingkatkan kefahaman agama dalam kalangan saudara kita dan memberi bantuan pembangunan ekonomi mereka.

“Menerusi institusi pula, LZS membangunkan institusi seperti Bait Al-Hasanah, Bait AlMawaddah, Baitus Salam dan pusat-pusat Latihan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, asnaf yang produktif akan melalui suatu proses membangunkan keupayaan kendiri menerusi program-program pembangunan yang telah disediakan untuk mereka yang berpotensi mengikut kecenderungan masing-masing.

Seiring dengan falsafah Pembangunan Asnaf iaitu daripada Mustahiq kepada Muzakki, Mohd Sabirin berkata, LZS sentiasa komited dan proaktif dalam memastikan golongan asnaf di Selangor mampu berdikari sekaligus memajukan diri mereka melalui program-program yang dilaksanakan.

Jelas beliau, matlamatnya bukan sahaja membantu asnaf  berdikari, tetapi sehingga mereka mampu menjadi penyumbang semula kepada kitaran kutipan zakat pada masa hadapan.

“Mungkin hasil daripada apa yang saya sebutkan tidak dapat dilihat dalam masa terdekat ini kerana ia merupakan satu proses yang panjang.

“Tetapi saya amat optimis jika berada di landasan betul, lebih ramai lagi asnaf yang dapat memajukan diri dan juga meningkatkan sosioekonomi keluarga seterusnya keluar dari kategori asnaf,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini bercakap kepada media selepas selesai Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di Convention Centre Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 DISEMBER 2024

Terdahulu pada majlis itu, seramai 39 penerima bantuan LZS diraikan mengiktiraf kejayaan masing-masing, sekali gus membuktikan zakat adalah pelaburan sosial yang berupaya melahirkan individu berkualiti dan berdaya saing.

Ia juga bukti  bantuan zakat bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi menjadi pemangkin perubahan hidup.

Sebanyak lima kategori anugerah disampaikan merangkumi Anugerah Pendidikan, Anugerah Mualaf, Anugerah Usahawan, Anugerah Kerjaya dan Anugerah Khas yang mengiktiraf pencapaian penerima dalam pelbagai bidang.

Daripada keseluruhan penerima, seramai 23 pelajar cemerlang telah diiktiraf atas kejayaan meraih keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here