Dzulkefly (tengah) pada Program 1st Malaysia Community First Responder Conference di Hotel Marriott, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan bercadang untuk menggubal rang undang-undang baharu yang dikenali sebagai ‘Akta Good Samaritan’ bagi melindungi orang awam yang memberikan pertolongan cemas kepada mangsa kemalangan atau insiden di tempat kejadian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia dilihat agak kebelakang dalam perkara ini memandangkan negara-negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom telah lama mengamalkan perundangan tersebut.

Jelasnya, penggubalan Akta Good Samaritan penting bagi memastikan orang awam yang bertindak untuk membantu mangsa kecemasan tidak terdedah kepada risiko undang-undang, selaras dengan amalan negara-negara lain yang lebih dahulu menguatkuasakan akta tersebut.

Dzulkefly.

“Akta ini perlu digubal dalam tempoh Parlimen ke-15, dengan harapan ia dapat disamakan dengan standard antarabangsa.

“Walaupun saya tidak dapat memberi jaminan tarikh pelaksanaannya namun kita berusaha agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Kita ada tempoh tiga tahun lagi untuk memastikan Akta Good Samaritan ini menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Dzulkefly merasmikan Program 1st Malaysia Community First Responder Conference di Hotel Marriott, Gurney di sini.

Mengulas lanjut Dzulkefly menegaskan, beliau akan membawa hasil daripada persidangan Program 1st Malaysia Community First Responder mengenai Akta Good Samaritan ke mesyuarat pasca-Kabinet minggu depan untuk dibincangkan lebih lanjut.

Beliau optimis Akta Good Samaritan dapat direalisasikan dengan merujuk amalan terbaik dari negara-negara lain yang telah melaksanakannya sebagai panduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here