PONTIAN – Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024 di Johor akan tetap dianjurkan selepas monsun timur laut (MTL) berakhir atau selewat-lewatnya sebelum suku pertama tahun depan.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, sepatutnya kongres tersebut diadakan bulan ini tetapi ditangguhkan kerana banjir yang melanda beberapa negeri termasuk di Johor.
“Buat masa sekarang, kita faham untuk mengadakan kongres ketika ini tidak sesuai kerana ramai yang terkesan dengan bencana banjir.
“Namun PKR tetap akan laksanakan juga kongres di Johor cuma ia akan ditentukan tarikhnya selepas monsun timur laut. Mungkin pada suku pertama tahun depan, selewat-lewatnya ia akan diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Kementerian Komunikasi di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini hari ini.
Kongres Nasional PKR 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru manakala Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu, di lokasi berbeza.
Pada 30 November lalu, PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional PKR 2024, ekoran banjir di beberapa negeri ketika ini.
Fahmi dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan.
Pada masa sama, MPP sudah memutuskan satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan tetap diadakan pada 15 Disember ini.
Selain Kelantan yang paling teruk terkesan bencana itu, banjir turut melanda Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor.- MalaysiaGazette