Dzulkefly.

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan menjangka memperoleh laporan penuh berkaitan isu penahanan mayat bayi di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor minggu depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sedang melengkapkan siasatan termasuk berjumpa dengan pihak hospital dan keluarga bayi berkenaan.

Jelas beliau, dapatan penuh kes berkenaan akan dibentangkan CKAPS sebelum ia dibawa ke mesyuarat pasca Kabinet.

“Rangka masa bagi saya sentiasa merujuk kepada mesyuarat pasca Kabinet yang seterusnya. Kami mengadakan mesyuarat mingguan dengan mesyuarat terbaru diadakan semalam iaitu hari Jumaat.

“Jadi, pada waktu itu, saya ingin melihat kemas kini atau dapatan yang akan dipersembahkan semasa mesyuarat pasca Kabinet.

“Harapnya, saya akan ada mesyuarat terakhir sebelum akhir tahun, iaitu minggu depan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dzulkefly (tengah) merasmikan Program 1st Malaysia Community First Responder Conference di Hotel Marriott, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, Dzulkefly merasmikan Program 1st Malaysia Community First Responder Conference di Hotel Marriott, Gurney di sini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan KKM terhadap pengawasan fasiliti swasta agar kejadian sama tidak berulang, Dzulkefly berkata, pengawasan terhadap fasiliti swasta tertakluk di bawah Akta 586, iaitu Akta Perkhidmatan Hospital Swasta.

“Kita rakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga bayi malang itu dan dalam masa sama kita berusaha memastikan kes ini disiasat secara adil dan teliti.

“Kes ini mempunyai latar belakang yang unik, kita minta orang ramai untuk bersabar dan menunggu hasil siasatan lanjut sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Kita semua tahu bahawa Malaysia ini ada pergantungan kesejahteraan awam dan kesejahteraan swasta. Menteri ini bukan sahaja menteri kesejahteraan awam, menteri ini juga adalah menteri yang akan mengawal seluruh ekosistem kesejahteraan dalam negara ini,” katanya.

Rabu lalu, Hospital Bersalin Razif di Klang menafikan dakwaan pihaknya menahan jenazah seorang bayi selama dua minggu, sebaliknya menjelaskan memberi kebenaran bayi berkenaan dikebumikan sebelum bayaran bil hospital dibuat.

Penafian itu dibuat susulan hantaran di Facebook oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official mendakwa, bayi lelaki yang diberi nama Adham itu dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur disimpan selama dua minggu dalam peti sejuk beku.

Selain jenazah bayi, ibunya turut ditahan oleh pihak hospital kerana tidak membayar kos rawatan di situ.

Lantaran itu Wan Chai mempersoalkan motif pihak hospital menahan jasad bayi dan mempertikaikan sifat perikemanusiaan doktor di hospital terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here