KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal menyelaraskan hala tuju industri besi dan keluli dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Menurutnya, hal ini dibincangkan semasa pembentangan laporan oleh Jawatankuasa Bebas untuk Industri Besi dan Keluli Malaysia (ISC) yang telah ditubuhkan pada bulan Januari 2024.
Penyerahan laporan tersebut oleh Pengerusi ISC, Datuk Omar Siddiq, bermakna ISC telahpun menyelesaikan tugasnya dari segi menjalankan rundingan meluas dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai situasi semasa dan aspirasi masa depan industri besi dan keluli Malaysia.
Cadangan-cadangan bagi hala tuju industri ini telahpun dibentangkan kepada mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baru-baru ini.
“MITI berterima kasih di atas usaha ISC dalam memberi beberapa cadangan yang bernas bagi menyelaraskan hala tuju industri ini dengan misi-misi NIMP 2030.
“Cadangan tersebut perlu bagi memastikan kemampanan ekonomi dan pematuhan alam sekitar sektor tersebut. Hala tuju pelbagai industri juga perlu diselaraskan dengan aspirasi dan objektif Kerangka Ekonomi MADANI, dan MITI berhasrat untuk mempertimbangkan kesemua cadangan yang dikemukakan untuk memacu transformasi industri Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette