KUALA LUMPUR – Seramai 49 warga asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dalam satu operasi bersepadu yang telah dijalankan di kawasan perkampung sekitar Dengkil, Selangor, pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Imigresen Kanan (PPK) Negeri Selangor, Johari Supardi, kesemua mereka ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 3.45 pagi, disertai seramai 152 orang anggota imigresen Selangor.
“Dalam operasi berkenaan, 89 individu telah diperiksa namun hanya 49 orang ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di sini melebihi masa.
“Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 45 warga Indonesia yang terdiri daripada 28 lelaki dan 17 wanita serta empat warga Myanmar termasuk dua wanita,” katanya.
Johari berkata, kesemua mereka telah dibawa ke Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kesalahan pula akan disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurut beliau, operasi itu mencabar selepas berlaku cubaan warga asing melarikan diri dan menyorok dari pihak berkuasa bagi mengelak diberkas.
Malah, ada yang tidak mahu membuka pintu sehingga pihak imigresen terpaksa menggertak untuk memecahkan pintu sekiranya enggan memberi kerjasama.
“Selain itu, pergerakan para anggota untuk bergerak dengan pantas dan lancar terbatas kerana keadaan lokasi serbuan yang agak padat dan jalan yang sempit.
“Walau bagaimanapun, kesemua anggota dapat menjalankan tugas mereka dengan cekap dan lancar,” tambahnya.
Pihaknya turut menegaskan, operasi seperti ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negara ini.
Beliau turut menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang kegiatan yang melibatkan PATI dalam usaha membanteras jenayah ini. – MalaysiaGazette