Yong Teck Lee

KOTA KINABALU – Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan secara rasminya telah menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN), kata Presidennya Datuk Yong Teck Lee.

Beliau berkata, keputusan dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 Nov lepas, dan pihak ibu pejabat PN telah dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan berkenaan bulan lepas.

Yong berkata, PN dilihat jelas ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang, iaitu pendirian terbabit bertentangan dengan pendirian dan dasar SAPP yang menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sepatutnya hanya ditandingi parti tempatan negeri itu.

“Pendirian SAPP ini selaras dengan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan autonomi Sabah.

“Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan bahawa pilihan raya bagi DUN Sabah kekal di bawah bidang kuasa parti tempatan, bebas daripada campur tangan parti-parti yang berpusat di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SAPP adalah parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Sementara itu, Yong berkata SAPP telah mengumukakan usul kepada Majlis Tertinggi GRS untuk dipertimbangkan melibatkan autonomi Sabah iaitu GRS harus meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN pada pilihan raya negeri nanti.

Beliau berkata langkah itu penting dalam menegakkan hak Sabah di bawah MA63 dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang kuat untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan federalisme sejati.

Yong berkata dengan kurang daripada 10 bulan sebelum pilihan raya negeri yang akan datang, SAPP juga menggesa Majlis Tertinggi GRS untuk segera menyelesaikan sebarang ketidakpastian mengenai penjajaran kerjasama GRS dan Pakatan Harapan.

“Semua hal ini mestilah diperjelas sebelum tahun baharu untuk membolehkan rakyat Sabah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat mengenai masa depan politik mereka,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here