GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan tiga lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan mencuri gelang emas milik seorang lelaki warga China dalam kejadian di sebuah servis apartmen di Tanjung Bungah di sini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin terhadap tiga suspek tempatan berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia 39 tahun itu berkenalan dengan salah seorang suspek menerusi aplikasi jaringan geososial hubungan sejenis sebelum berjumpa dengannya pada Mac lalu di servis apartmen tersebut.
Bagaimanapun, dalam pertemuan itu gelang emas mangsa dilarikan dua rakan suspek yang ketika itu datang ke bilik berkenaan dan suspek meminta mangsa memberikan RM10,000 sekiranya mahu semula gelang tersebut.
Tidak puas hati dengan tindakan suspek, mangsa membuat laporan sebelum tangkapan dibuat ke atas mereka dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Timur Laut.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan peras ugut lelaki dengan merakamkan video melakukan hubungan sejenis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kes dan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette