SUNGAI BULOH – Sebanyak RM25 juta diperuntukkan tahun ini kepada 12,400 pelajar India B40 oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Program Bantuan Awal Kemasukan IPT MITRA (IPT 4.0 MITRA).
Pengerusi MITRA, P Prabakaran berkata, sehingga kini MITRA telah menerima sebanyak 12,626 permohonan daripada pelajar India seluruh negara dan fasa saringan sedang dilaksanakan.
Kata beliau, seramai 1088 pelajar layak akan menerima bantuan IPT 4.0 MITRA dalam fasa pertama minggu depan.
“Penerima bantuan fasa pertama akan menerima RM2000 dan RM3000 (pelajar OKU) secara one off yang akan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula pada minggu depan.
“Sudah menjadi tanggungjawab pihak MITRA untuk memastikan bantuan kewangan ini disalurkan kepada penerima manfaat yang benar-benar layak.
“Oleh itu, semasa saringan dilaksanakan, didapati kebanyakan dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh pelajar adalah tidak lengkap, kurang sahih dan menimbulkan keraguan,” katanya selepas Majlis Graduasi Tadika Genius Bersinar bawah program subsidi pendidikan awal tadika swasta 2024.
Dalam pada itu, kata Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu menambah, MITRA sedang membuat proses semak silang data dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berkaitan dan mendapatkan pengesahan status B40.
Katanya, antara isu menyebabkan kelewatan dalam memproses permohonan adalah pelajar tidak mengemukakan nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), tiada bukti dokumen Sumbangan Tunai Rahmah (STR)/ eKasih/ Mysalam, tiada penyata gaji ibubapa disahkan selain tiada surat pengesahan universiti.
“Kita sedia maklum dengan kekangan dan kesulitan ini, proses penyaluran bantuan kewangan kepada pelajar IPT Tahun 2024 akan dilaksanakan secara berperingkat mulai bulan Disember 2024 sehingga selesai.
“Selanjutnya, pemakluman senarai pelajar yang layak bagi fasa berikutnya akan dimaklumkan secara berperingkat melalui laman media sosial MITRA,” ujarnya.
Sementara itu, Prabakaran juga memaklumkan peruntukan MITRA sebanyak 9.3 juta di bawah Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta 2024/2025 telah memberi manfaat kepada 4,709 kanak-kanak India dengan penglibatan 183 buah tadika swasta.
“Seramai 126 kanak-kanak India telah menerima peruntukan sebanyak RM277,200.00 menerusi Tadika Genius Bersinar bawah program subsidi ini.
“Hari ini saya bersyukur atas pencapaian dan bakat anak-anak MITRA serta peluang yang diberikan untuk menyaksikan Majlis Graduasi melibatkan 52 kanak-kanak berumur 6 tahun di bawah program subsidi MITRA dari Tadika Genius Bersinar.
“Objektif program ini adalah memastikan kanak-kanak dari masyarakat India berumur antara empat hingga enam tahun mendapat akses pendidikan awal selain membantu mengurangkan beban keluarga golongan B40.
“Selain itu, kanak-kanak di bawah program ini juga merupakan feeder untuk kemasukan murid-murid ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” ujarnya. -MalaysiaGazette