JASIN – Seorang wanita nyaris maut selepas kereta dipandunya merempuh besi pembahagi jalan sehingga menembusi bahagian depan kenderaan di Jalan Kesang – Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa pesara bank berusia 51 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Naza Suria sedang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Kesang Pajak.
“Siasatan awal mendapati, ketika melalui lokasi yang menuruni jalan berbukit, kereta dipandunya tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar besi pembahagi jalan.
“Akibatnya, mangsa yang cedera di kepala, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette