KUALA LUMPUR – Penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa ‘ditangguhkan’ selama sebulan sehingga isu tersebut reda.
Menurut sumber, isu yang mendapat reaksi bercampur dalam kalangan ahli UMNO dan PKR membawa kepada ‘penangguhan’ tersebut.
Beliau mendakwa, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui penyertaan Zafrul dalam PKR namun terdapat pemimpin dan ahli parti yang gusar mengenai perkara tersebut.
Sumber memberitahu, dakwaan Tengku Zafrul menggantikan menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor adalah tidak benar, sebaliknya propaganda itu disebarkan segelintir pihak yang berkepentingan.
“Hakikatnya untuk Tengku Zafrul terus ‘lompat’ hanya kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri atau kerabat Diraja bukannya lesen untuk terus terjah masuk parti lain dan pegang jawatan besar, dalam parti dan juga peringkat kerajaan negeri atau persekutuan. Itu tidak logik.
“Akar umbi PKR juga perlu terima kehadiran beliau, mungkin itu akan ambil masa.
“Tapi kemasukan beliau ke parti ini memang betul, sudah bincang cuma apabila perkara ini sudah diperbesarkan sehingga tahap jawatan Menteri Besar menjadi rebutan, Sultan Selangor juga sudah perkenan Amirudin habiskan penggal, saya rasa isu sudah besar,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Pada Kongres Nasional Khas PKR di Shah Alam, Selangor hari ini, Anwar yang juga Perdana Menteri mengesahkan terdapat perbincangan mengenai penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti itu.
Sebelum ini media melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bakal menyertai Parti Keadilan Rakyat sekaligus menggantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.
Sumber memberitahu, bagi memegang jawatan Menteri Besar, seseorang perlu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketika ini Tengku Zafrul adalah Ahli Dewan Negara.
“Jadi kena ada kerusi kosong hendak tanding. Banyak yang perlu dilakukan dan rasanya semua itu bukanlah langkah-langkah mudah,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, selain Tengku Zafrul, terdapat beberapa pemimpin, termasuk ahli UMNO yang digantung, telah membuat permohonan menyertai PKR dan mereka hanya menunggu masa untuk membuat pengumuman. – MalaysiaGazette
Saya akan kekal sebagai MB Selangor sehingga akhir penggal – Amirudin