KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meluluskan pindaan Perlembagaan yang memperkenalkan kuota etnik dan wanita dalam perwakilan parti, disifatkan sebagai berani dan progresif.
Keputusan ini mencerminkan komitmen parti untuk mempromosikan keadilan sosial dan kesaksamaan dalam sistem politik negara.
Naib Presiden PKR, Saraswathy Kandasami berkata, usaha ini mampu memperluaskan penyertaan kumpulan yang sebelum ini kurang diwakili, terutamanya wanita dan pelbagai etnik, dalam proses membuat keputusan.
“Dengan pengenalan kuota ini, parti bukan sahaja mempromosikan kepelbagaian, tetapi juga membina asas yang lebih inklusif untuk menyuarakan pelbagai pandangan. Langkah ini penting untuk mendorong perubahan budaya politik agar lebih responsif kepada masyarakat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Saraswati yang juga Timbalan Menteri Perpaduan itu, langkah ini juga mampu memecahkan halangan tradisional yang sering menghalang penyertaan wanita dalam arena politik.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, dalam ucapan pada Persidangan Kongres Khas hari ini menekankan bahawa keberkesanan kuota ini perlu disokong dengan program pembangunan kepimpinan dan pendidikan politik yang komprehensif.
Pindaan ini dianggap sebagai satu permulaan penting untuk memastikan penyertaan yang lebih seimbang, seiring dengan semangat keadilan dan kesaksamaan yang diperjuangkan oleh parti. -MalaysiaGazette