PONTIAN – Perbelanjaan sektor pembinaan diunjurkan sebanyak RM200 billion pada tahun depan, merangkumi pelbagai projek pembinaan kemudahan, naik taraf dan kerja-kerja penyelenggaraan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia membabitkan pembinaan jalan, lebuh raya, jambatan, memperbaiki cerun, bangunan, penyelenggaran dan sambungan projek.
Jelasnya, semua kerja-kerja tersebut akan melibatkan pihak kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Daripada jumlah tersebut, RM88 bililion merupakan Bajet Tahun 2025 manakala anggaran daripada projek-projek GLC dan GILC berjumlah RM32 billion dan sektor swasta pula RM80 billion,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kemahiran Kerjaya dan TVET Pembinaan di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Johor, Ahmad Farrin Moktar.
Ahmad berkata, pelaksanaan kerja-kerja untuk projek tersebut akan dipercepatkan supaya rakyat akan segera mendapat manfaatnya.
“Penambahan kemudahan infrastruktur awam seperti jalan, jambatan, lebuh raya sekolah, hospital, perumahan rakyat semuanya bagi memenuhi keperluan rakyat seluruh negara.
“Ini tentunya membantu menyelesaikan keperluan rakyat terutama di pedalaman yang memerlukan jalan yang baik, perkhidmatan kesihatan, kemudahan pendidikan dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya, menerusi peruntukan yang besar itu negara memerlukan lebih ramai tenaga pekerja tempatan dalam sektor pembinaan bagi mengurangkan pergantungan pekerja asing.
Ahmad percaya, dengan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pembinaan menersusi Akedemi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan akan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja mahir pada masa depan.
Sehingga kini katanya, ABM Wilayah Selatan berjaya melatih 70,000 pekerja binaan mahir selain melahirkan ramai kontraktor kelas G3.- MalaysiaGazette