KUALA LUMPUR – Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi tahun 1446H/2025M akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran itu.
“Setiap tahun terdapat kira-kira 70,000 hingga 80,000 rayuan untuk menunaikan haji dan mereka bersedia membayar penuh kos haji.
“Mengambil berat tentang konsep istito’ah, dari tahun 2022 hingga 2024, lebih 700 orang jemaah muassasah kumpulan B40 dan M40 telah memilih untuk membayar samada kos haji secara penuh atau lebih dari bayaran minima yang ditetapkan TH di mana kami menyambut baik sikap positif ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Hamadah berkata, terdapat hampir empat juta pendeposit yang telah mendaftar haji dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan haji namun kuota adalah terhad.
“Kos haji muassasah adalah jauh lebih rendah daripada pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang dilesenkan oleh TH dimana harga bermula sekitar RM55,000 seorang,” katanya.
Bagi musim haji 1446H/2025M, TH telah dapat mengekang peningkatan kos dimana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
Tahun depan, kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000 bagi kumpulan B40, manakala bagi kumpulan M40, RM23,500 dan bayaran penuh sebanyak RM33,300 bagi kumpulan T20.
Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: