KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membuat kronologi untuk membuktikan apa yang didakwa pembohongan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu kehilangan Pulau Batu Puteh.
Menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini, Mohd. Puad turut mendakwa, Dr. Mahathir terlebih dahulu memaklumkan kepada kerajaan Singapura yang mana beliau telah membatalkan rayuan pengguguran Batu Puteh, pagi sebelum mesyuarat Kabinet mengenainya diadakan.
Sehubungan itu, dakwa beliau, mesyuarat Kabinet yang diadakan hanya rubber stamp atau sekadar untuk mengesahkan keputusan yang dibuat beliau.
Berikut adalah kronologi kehilangan Pulau Batu Puteh yang dikongsikan Mohd. Puad menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau:
- 23 Mei 2008 ICJ putuskan Batu Puteh milik Singapura
- 2 Mei 2017 Malaysia memfailkan semakan semula keputusan 2008 kerana ada bukti baharu (rayuan boleh dibuat dalam tempoh 10 tahun).
- 9 Mei 2018 Kerajaan BN tumbang.
- 10 Mei 2018 Tun M dilantik PM ke-7.
- 13 Mei 2018 mesyuarat Council of Elders.
- 14 Mei 2018 Apandi Ali Peguam Negara diarah bercuti (force leave). Iaitu 4 hari selepas Mahathir jadi PM ke-7. Peguamcara Negara Engku Nor Faezah memangku jawatan AG. Wan Azizah mendedahkan Engku Faezah yang tulis surat kepada ICJ pada 21 Mei 2018 membatalkan rayuan Batu Puteh.
- 28 Mei 2018 Tun M hantar surat kepada ICJ menyatakan Malaysia dan Singapura setuju membatalkan permohonan rayuan dan tafsiran.
- 29 Mei 2018 Singapura sahkan surat permohonan Malaysia.
- 29 Mei 2018 ICJ arahkan supaya permohonan Malaysia dikeluarkan daripada senarai secara rasmi. Maka kedaulatan Batu Puteh hilang selama-lamanya kerana tempoh 10 tahun telah tamat.
- 30 Mei 2018 akhbar The Strait Times Singapura telah melaporkan Malaysia menarik diri rayuan Batu Puteh.
- 2 Julai 2019 Timbalan Menteri Luar iaitu Marzuki Yahya beritahu Dewan Rakyat Malaysia masih komited untuk membuat semakan. Ini bohong paling mega kerana hakikatnya kita telah kehilangan Batu Puteh selama-lamanya pada 28 Mei 2018 lagi.
Sementara itu, Mohd. Puad turut menempelak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan beliau sanggup bersekongkol dan mempertahankan Dr. Mahathir yang menjual kedaulatan negara.
“Ini pembohongan paling mega dalam sejarah kerana Malaysia kehilangan wilayah, maruah tercemar selama lamanya kerana menyerah diri tanpa berperang.
“Siasatan tidak boleh tertangguh dan hukuman mesti berat kerana punca kekalahan adalah disengajakan. Rakyat mesti tolak pengkhianat termasuk yang bersekongkol,” katanya.
Sebelum ini, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Berhubung Kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan yang telah dinyahklasifikasi mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr. Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr. Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama. – MalaysiaGazette