ALOR GAJAH – Polis telah menahan pemandu Perodua Axia yang didapati memandu secara melulu dan merbahaya dengan aksi zig-zag di Kilometer 216 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini, yang tular awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pemandu lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas pihaknya mengesan penularan kejadian tersebut dalam video berdurasi 1:09 minit pada jam 3.20 petang 4 Disember lalu.
Menurutnya, video terbabit yang tular melalui aplikasi TikTok menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan nombor pendaftaran tidak pasti dipandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna lebuh raya.
“Kereta itu dipandu secara zig zag ke kiri dan kanan yang dipercayai berlaku di Kilometer 216 Lebuhraya PLUS arah utara sehingga membahayakan pengguna kenderaan lain.
“Susulan itu, kita telah menahan pemandu kereta berkenaan, lelaki berusia 35 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu video yang tular memaparkan kereta berkenaan seolah-olah dipandu dalam keadaan separa sedar ke kiri dan kanan jalan sehingga melanggar besi pengadang kiri lebuh raya.
Malah, ia hampir terbabas ke dalam longkang namun sempat mengelak sebelum kembali semula ke lorong tengah dan kanan lebuh raya.
Tambah Ashari, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya selama lima tahun. – MalaysiaGazette