Musliadi Arahman, 39, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Padah melarikan diri daripada tahanan selama empat hari pada bulan lalu, seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Musliadi Arahman, 39, yang melarikan diri daripada tahanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan tentangan dan halangan yang menyalahi undang-undang dengan cara melepaskan diri daripada jagaan pegawai pengiring JKDM yang mana tertuduh telah ditahan secara sah.

Perbuatan melarikan diri dari tahanan sah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dilakukan di perkarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah kira-kira pukul 10.10 pagi 25 November 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak melarikan diri dengan cara memanjat pagar ketika dalam jagaan pegawai pengiring JKDM.

Susulan itu, pihak polis menjalankan operasi memburu tertuduh sebelum lelaki itu berjaya ditangkap semula empat hari kemudian di dalam sebuah kawasan kebun durian di Melaka Pindah kira-kira tiga kilometer dari mahkamah.

Terdahulu, peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh terdesak berbuat demikian kerana mendapat maklumat anak dan isterinya terlibat kemalangan di Aceh, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh jatuh hukum serta menasihatkan tertuduh mendapatkan bantuan kedutaan Indonesia jika mahu mengetahui keadaan keluarganya di sana bukannya melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here