PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berada pada kedudukan ke-62 universiti teknologi terbaik dunia dalam penarafan UI GreenMetric World University Rankings (UIGWUR) 2024 yang diumum UI GreenMetric, baru-baru ini.
Universiti tersebut berada pada kedudukan nombor satu dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan menduduki tempat keempat daripada 60 institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia yang tersenarai pada kali ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Prof Ts Dr Aida Mustapha berkata, universiti tersebut naik enam anak tangga berbanding berada pada kedudukan ke-68 terbaik dunia pada 2023.
”Penarafan UIGWUR yang mengukur inisiatif kehijauan dan kelestarian alam sekitar telah diasaskan oleh Universitas Indonesia (UI) pada tahun 2010.
“UMPSA kini telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kejayaan tersebut menunjukkan komitmen UMPSA dalam membangunankan kampus yang lestari dan mampan, ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, pengurangan emisi karbon turut dijadikan agenda utama universiti dan UMPSA bertekad untuk mencapai sasaran neutral karbon pada 2050.
UMPSA turut mensasarkan pengurangan emisi karbon sebanyak 30 peratus seperti ditetapkan pada 2025 dan 45 peratus menjelang 2030. – MalaysiaGazette