BARISAN kepimpinan USM bersama alumni dan penggiat industri pada majlis Malam Gemilang Alumni dan Industri USM Tahun 2024 di WTC, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya menghimpunkan alumninya dengan para pemain industri dalam majlis khas, Malam Gemilang Alumni dan Industri USM Tahun 2024.

Ia bertujuan mengiktiraf sumbangan besar mereka kepada pembangunan USM yang kini telah menginjak ke usia 55 tahun.

Majlis yang turut menjadi platform dalam merapatkan hubungan Alumni USM bersama alma mater itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd. Rustam.

Bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur, majlis yang berlangsung malam tadi dihadiri seramai 400 jemputan dalam kalangan alumni USM dan rakan-rakan industri sekali gus memainkan peranan cukup besar dan memberi impak kepada pembangunan USM.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sejak ditubuhkan, USM sehingga kini telah melahirkan kira-kira 200,000 alumni.

Ujar beliau, sumbangan alumni dan pihak industri kepada USM tidak terhad hanya kepada dana sebaliknya kedua-dua rakan strategik universiti itu sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu USM menyediakan graduan berkualiti sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Katanya, perkara itu juga dizahirkan dengan kejayaan USM dalam mendapat pengiktirafan industri sebagai Universiti Pilihan Graduan dalam majlis Anugerah Graduates’ Choice Award yang dikendalikan oleh Talentbank, baru-baru ini.

“Ramai yang telah berjaya dan mengangkat moto universiti, ‘Kami Memimpin’. Alumni USM kembali menyumbang kepada komuniti, baik berkhidmat untuk alma mater atau mencurah keringat di pelbagai sektor dan lapangan.

“USM tidak ketinggalan dalam melahirkan alumni hebat dan menyahut cabaran menjadi job creators. Mereka ini telah membuka banyak peluang kerjaya kepada masyarakat khasnya dalam bidang industri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Presiden Persatuan Alumni, Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Sementara itu, Abdul Rahman turut berbangga kerana Mohd Ali juga salah seorang alumni yang menzahirkan moto ‘Kami Memimpin’ kepada pencapaian yang luar biasa.

Katanya, Mohd Ali juga telah dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan USM sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang ekonomi, selain turut mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Dalam majlis sama, USM turut menyampaikan Anugerah Ikon Alumni kepada alumninya yang telah memberikan impak yang signifikan kepada profesionalisme, komuniti dan USM.

Dua kategori anugerah telah disampaikan termasuk Kategori Anugerah Alumni Perdana yang diberikab kepada Toh Indera Jaya Ishak Mohamed iaitu alumni dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan tahun 1985 dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh.

Beliau kiini memegang jawatan sebagai Naib Presiden, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Satu lagi anugerah, Kategori Anugerah Alumni Muda Harapan pula diberikan kepada Khairul Hafez Yunus @ Hamid, pengacara TV Radio Televisyen Malaysia yang bergraduat dari USM dalam bidang Sains Politik pada tahun 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast