GEORGE TOWN – Sebanyak 199,000 atau 29 peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negeri ini telah mencapai kadar simpanan asas yang ditetapkan.
Pengarah KWSP Wilayah Utara Jeffarry Mohamed Isa berkata, kadar celik kewangan di Pulau Pinang juga adalah yang tertinggi di wilayah utara iaitu 36 peratus, melebihi purata kebangsaan pada 29 peratus.
“Ini membuktikan komitmen utuh kerajaan negeri dalam menjayakan agenda persaraan khususnya dalam membantu lebih ramai ahli mengharungi alam persaraan dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Majikan Terbaik KWSP Pulau Pinang yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.
Sebanyak 32 majikan dipilih memenangi pelbagai kategori dalam majlis itu termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang menang Anugerah Khas Majikan Sektor Awam.
Pemilihan pemenang berdasarkan pelbagai kriteria termasuk usaha, kerjasama dan inisiatif majikan dalam membantu KWSP membina masa depan persaraan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia serta Pulau Pinang.
Jeffary berkata, Pulau Pinang mempunyai 43,042 majikan yang merupakan 38 peratus daripada 112,083 majikan berdaftar di seluruh wilayah utara manakala bilangan ahli KWSP di negeri ini pula sebanyak 634,000 orang.
“Sepanjang tahun ini hingga November, lebih 400 program libat urus dilaksanakan dan kami berharap majikan membuka pintu untuk KWSP memberikan perkongsian agar ahli-ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa,” katanya.
Beliau berkata Pulau Pinang antara negeri yang terawal mengumumkan sumbangan sokongan kepada ahli i-Suri pada 2022 yang sehingga kini, kerajaan negeri telah menyumbang lebih RM2 juta bagi tujuan berkenaan.
Sementara itu Chow berkata kadar pematuhan caruman KWSP di Pulau Pinang adalah ketiga tertinggi di negara ini dengan tahap 99.15 peratus.
Beliau berkata kadar pematuhan ini boleh ditingkatkan sehingga 100 peratus sekiranya kesemua majikan menyahut inisiatif untuk memantapkan kerjasama dengan KWSP.
“Saya berharap KWSP terus menjadi rakan terpenting majikan mahupun pekerja dalam menjadikan simpanan asas ahli-ahli semasa persaraan nanti mencukupi,” katanya. – BERNAMA