MELAKA – Seorang bakal pengantin didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua remaja termasuk pelajar sekolah, tahun lalu.

Tertuduh, S. Vinudharan, 26, yang dijadual melangsungkan perkahwinannya minggu depan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian terhadap dua remaja lelaki berusia 16 tahun, Erwan Idris, dan Putra Norsyaqir Putrawirawan.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Krubong Permai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 9.53 malam 24 Disember 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 1999).

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang sesuatu lesen tidak kurang daripada lima tahun manakala lesen digantung bermula daripada tarikh pertuduhan pertama kali dibacakan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan berjumlah RM16,000.

Bagaimanapun, peguam MX Koh yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori pasar borong bergaji harian RM60 termasuk menanggung ahli keluarganya dan adik yang belajar di kolej.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes.

MalaysiaGazette pada 25 Disember tahun lalu melaporkan dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa maut adalah penunggang motosikal, Putra Norsyaqir Putrawirawan dan pembonceng, Erwan Idris.

Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang pemuda berusia 25 tahun telah masuk ke laluan bertentangan akibat terlelap dan melanggar kedua-dua mangsa sebelum melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Akibat kemalangan tersebut, Erwan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Krubong yang parah di badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Putra Norsyaqir pula yang merupakan pekerja sambilan katering menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here