KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula Sahibus Samahah Prof. Madya Datuk Dr. Anhar Opir, Dr. Marjan Muhammad dan Dr. Ahmad Basri Ibrahim sebagai ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) bank pusat ini.
Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Dengan pelantikan semula ini, MPS akan dibarisi tujuh orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan undang-undang.
Selaun Anhar, Marjan dan Ahmad Basri, ahli-ahli MPS lain ialah:
1) Prof. Dr. Ashraf Md Hashim (Pengerusi)
Profesor, Universiti INCEIF
2) Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Timbalan Pengerusi)
Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
3) Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin (Ahli)
Profesor, Universiti INCEIF
4) Encik Burhanuddin Lukman (Ahli)
Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji
BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Zainal Abidin Jamal atas sumbangan
yang tidak ternilai semasa tempoh perkhidmatan mereka.
Mohd Zawawi akan melengkapkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2024, sementara Zainal Abidin telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan beliau pada 31 Oktober 2024.
Mohd Zawawi dan Zainal Abidin telah memberikan sumbangan besar kepada perbincangan MPS dan keseluruhan pembangunan kewangan Islam di Malaysia.
MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia, selain berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam.
Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.
Oleh itu, MPS memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kepastian amalan Syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam. – MalaysiaGazette