BATU PAHAT – Seorang peniaga makanan terkejut menemukan seorang bayi dalam kotak di rak lauk di kedainya di kawasan perindustrian Taman Kota, Yong Peng, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, Salzura Abd Rahman, 42, berkata, insiden bermula semasa beliau tiba di kedai bersama-sama anak lelakinya, Danis Syahputra Mohamad Saipol, 17.
Dia kemudian terlihat satu kotak diletakkan di atas rak tempat meletakkan lauk pauk.
“Pada mulanya, saya sangka ada orang membuang anak kucing kerana lokasi ini kerap dijadikan tempat untuk meletakkan binatang peliharaan.
“Saya pun nak angkat kotak itu, tapi berat. Dalam hati saya kata, banyaknya orang buang anak kucing. Apabila saya buka kotak, saya nampak kaki terangkat dan badan saya menggigil mendapati rupanya ada bayi yang cukup sifat,” katanya ketika ditemui di gerainya.
Jelasnya, laporan polis segera dibuat dan bayi terbabit diserahkan kepada Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini, untuk pemeriksaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon, melahirkan rasa kesal dengan tindakan individu yang sanggup membuang bayi berkenaan.
“Kita semua adalah manusia yang memiliki hati nurani, perikemanusian dan mengasihani sesama makhluk, apakah tergamak seorang manusia sanggup memperlakukan manusia yang lain sebegini rupa, ini adalah pengajaran buat kita semua, moga semua ambil ikhtibar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan penemuan bayi itu.
Jelas beliau, bayi perempuan ditinggalkan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kesan kecederaan fizikal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan polis.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Inspektor Nurul Aqila Che Ali 011-55882109,” katanya.
Tambahnya, orang ramai juga boleh pergi ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Batu Pahat 07-4343999.- MalaysiaGazette
















