KUALA LUMPUR – Akibat perbuatan disyaki mendera bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga cedera di pipi dan telinga, seorang guru taska ditahan polis di Puncak Alam dekat sini pada 14 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tangkapan terhadap suspek wanita tempatan berusia 24 tahun itu dibuat pukul 6.50 petang.
Katanya, sebelum itu, bapa mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh berhubung kejadian itu pukul 1.16 tengahari hari.
“Berdasarkan laporan diterima, ibu manga menyedari kejadian itu selepas mengambil bayinya dari taska berkenaan sekitar pukul 6.15 petang pada Jumaat lalu.
“Guru taska itu memaklumkan pada ibu mangsa berkenaan kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya berpunca mangsa jatuh daripada meja di taska terbabit.
“Bagaimanapun pukul 7.30 malam, penyelia taska telah menghubungi bapa mangsa dan memaklumkan kecederaan pada mangsa itu akibat daripada perbuatan pekerjanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Mohd Hafiz berkata, bapa mangsa tampil membuat laporan polis sebelum merujuk anaknya ke Hospital Sungai Buloh bagi tindakan selanjutnya.
“Berikutan itu, proses permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Shah Alam dan mahkamah membenarkan suspek direman sehingga 18 Disember ini untuk siasatan.
“Setakat ini, kita telah memanggil empat saksi untuk beri keterangan selain melakukan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” jelasnya.
Ujarnya, semakan awal rakaman CCTV mendapati terdapat unsur penderaan dilakukan suspek ke atas bayi lelaki itu selain suspek sudah bekerja di taska terbabit kira-kira tiga tahun lalu.
Mohd Hafiz menambah, siasatan sedang dijalankan dibawah Seksye 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette