PASIR GUDANG – Seorang lelaki warga emas ditemui lemas ketika memasang jaring di sebuah kolam di Jalan Cendana 6, Taman Cendena di sini semalam.
Komander Operasi Balai Polis Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Sharol Suboh berkata, mangsa Soppigan Katiman yang berusia 63 tahun ditemukan pada kedalaman kira-kira 6.09 meter.
Menurutnya, seramai 10 angggota bersama-sama sebuah dua unit jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai insiden itu pada pada 6.33 petang.
“Anggota tiba di tempat kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer daripada balai bomba, pada pukul 6.40 petang. Operasi mencari mangsa segera dijalankan menggunakana alat khas grappling iron.
“Mangsa akhirnya ditemukan pada kedalaman 6.09 meter dan berada pada jarak 6.09 meter dari tebing kolam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sharol, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak polis yang turut hadir untuk siasatan lanjut.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada pukul 7.28 malam,” katanya.- MalaysiaGazette















