Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Fitch Ratings (Fitch) telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘stabil’.

Pemacu utama yang menyokong penarafan itu adalah momentum pertumbuhan yang kukuh dan meluas; kedudukan politik yang stabil; lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing yang teguh dan penurunan defisit fiskal.

“Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI khususnya komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar yang lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.

Fitch menyatakan kepastian dasar dalam negara telah bertambah baik ekoran kestabilan Kerajaan yang dicerminkan oleh pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi termasuk pengukuhan tata kelola entiti milik kerajaan serta perundangan antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Perkara itu selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menyatakan pelaksanaan agenda pembaharuan oleh kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif.

Ekonomi Malaysia bekembang dengan kukuh pada 5.3 peratus bagi suku ketiga 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar yang bertambah baik.

Kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang teguh pada tahun 2024 yang telah disemak semula lebih tinggi dalam lingkungan 4.8 peratus dan 5.3 peratus daripada anggaran awal antara empat dan lima peratus.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal, merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025,” kata kenyataan yang sama.

Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5 – 5.5 peratus pada 2025.

Kerajaan komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil, penggunaan sumber yang optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi khususnya RON95.

Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI untuk mentransformasikan ekonomi, meningkatkan nilai rantaian, menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here