JOHOR BAHRU – Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN pada 2025 dilihat dapat menyelesaikan konflik di Myanmar.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ini kerana Thaksin mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran sebuah negara.
Ini termasuk hubungan diplomatik khususnya hubungan Malaysia-Thailand, jelasnya yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor,
“Kepakaran ini boleh dimanfaatkan dalam meja rundingan bagi menyelesaikan konflik di Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN pada 2025.
Sebelum itu, Anwar melantik Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
Semalam Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Anwar melantik Thaksin menjawat jawatan tersebut.
Ahmad Fadhlii berkata, biasanya pemimpin negara akan melantik pakar diplomatik, bekas menteri luar atau tokoh akademik dalam bidang hubungan antarabangsa sebagai penasihat.
Mengulas lanjut, Wee Tse menyelar tindakan Pas yang mempersoalkan dan membuat tuduhan jahat terhadap Anwar serta mengeluarkan kenyataan-kenyatan negatif yang boleh mengelirukan.
“Kononnya lantikan Thaksin adalah kerja biasa Perdana Menteri untuk membodek pemimpin luar. Lebih teruk lagi apabila Pas persoalkan mengapa tidak lantik pakar tempatan.
“Ini sajakah standard pemikiran pemimpin Pas? Perkataan ‘tidak rasmi’ dan ‘hanya untuk ASEAN’ pun tak faham. Apabila tidak rasmi, sudah tentu tidak melibatkan implikasi kewangan. Apabila melibatkan Asean saja, maksudnya Takhsin tidak akan masuk campur urusan dalaman Malaysia,” ujarnya.
Kata beliau, sepatutnya Pas lihat daripada sudut positif kerana Perdana Menteri tidak melantik Thaksin seorang sahaja sebagai penasihat peribadi ‘tidak rasmi’ tetapi lebih ramai lagi tokoh, negarawan dan pemimpin ASEAN lain dijangka dilantik untuk tujuan membantu Pengerusi ASEAN.
Pas katanya, tidak nampak yang Perdana Menteri sedang ambil satu langkah kedepan memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh dari negaraAsia Tenggara untuk menguatkan lagi peranan ASEAN di mata dunia. – MalaysiaGazette