KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz teguh dengan pendirian Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar perlu menjalani tahanan di rumah sebaliknya perlu dibebaskan sepenuhnya.
Ini kerana, menurut beliau, Najib ketika ini sedang berdepan dengan perbicaraan yang disifatkannya ‘senget’ dan tidak diberikan hak untuk membela diri dengan sempurna.
“Saya ditanya, mengapa lama diam isu DSNR (Najib). Saya jawab kerana pendirian saya kekal sama atau mungkin tambah teguh.
“Ia perbicaraan ‘senget’. DSNR (Najib) tidak diberikan haknya untuk membela diri dengan sempurna.
“Saya tidak cadangkan beliau diberi tahanan rumah. Hak beliau adalah bebas sepenuhnya,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Nik Mohamad Abduh, Najib berhak dibebaskan sepenuhnya bukan kerana bekas Perdana Menteri itu terbukti tidak bersalah tetapi gagal dibuktikan bersalah.
“Pandangan saya, sebagaimana politik negara masih berlakon matang, mahkamah juga penuh lakonan,” dakwanya.
Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah. – MalaysiaGazette