ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dengan insiden membocorkan tayar kereta orang lain seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Taman Bukit Indah, di sini, pukul 9.45 malam tadi.
“Sebelum itu pihak polis menerima laporan polis dibuat seorang wanita tempatan berusia 21 tahun berhubung kejadian berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 malam, pada 13 Disember lalu di sekitar Taman Bukit Indah.
“Kejadian itu kemudian tular dalam media sosial sebelum polis bertindak atas maklumat dan membuat tangkapan ke atas suspek,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau manakala hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kejadian jenayah yang berlaku.- MalaysiaGazette