KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) menyerahkan dua rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep yang ditahan di Kem Tahanan Guantanamo Bay, Cuba sejak 2006.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Perpaduan telah menerima kedua-dua tahanan itu atas prinsip hak asasi manusia dan dukungan keadilan sejagat.
Tambah beliau, kerajaan juga telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajkan dan saringan kesihatan.
“Kementerian Dalam Negeri merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua warganegara Malaysia ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mohammed Nazir dan Mohammed Farik berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006. – MalaysiaGazette