KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 bersama empat kru warga asing di kedudukan 6.2 batu nautika barat daya Tanjung Karang, awal pagi tadi.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan dikesan melakukan aktiviti perikanan semasa rondaan operasi Op Ehsan dan Op Tiris 3.0 sekitar jam 12.45 pagi, tadi.
“Siasatan lanjut mendapati mereka melanggar syarat lesen kerana menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Selain itu, kesemua kru yang berusia 29 hingga 43 tahun itu juga telah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, kesemua hasil rampasan termasuk bot, tangkapan dan peralatan memancing telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette