ISKANDAR PUTERI – Pengendali Sri Pahang FC (SPFC), Fandi Ahmad mempertikaikan kualiti pengadilan yang disifatkan berat sebelah hingga merosakkan rancangannya untuk mencuri mata ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tewas 3-1 dalam aksi Liga Super di sini malam tadi.
Fandi sangat kesal dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan yang didakwa tidak berlaku adil terhadap pemainnya apabila dilayangkan tiga kad kuning manakala tiada pemain JDT dikenakan tindakan sama setelah penyerang importnya, Kpah Sherman yang dikasari berulang kali.
Lebih memburukkan keadaan, pengadil membuat keputusan yang lambat untuk merujuk bantuan video pengadilan (VAR) setelah permainan dibenarkan bersambung dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan.
“Yang paling saya tak senang sekali, cakap terus terang adalah mutu pengadilan. Main bola sudah macam ragbi, Kpah Sherman kena terjah beberapa kali pada babak pertama namun tidak dikenakan kad kuning bahkan tidak diberikan sepakan percuma tapi kita pula dilayangkan tiga kad kuning.
“Kita tahu mereka pasukan yang bagus tapi haruslah berlaku adil. Macam mana diberikan penalti bila Arif Aiman (Hanapi) sudah terlepas bola dan pemain kita tackle bersih dan dia (Arif Aiman) tercampak. Permainan diteruskan tiga minit, tarik balik (semakan VAR).
“Untuk bola sepak, ini kurang baik. Kalah menang adat permainan dan kita boleh terima kekalahan jika bertanding secara adil dan sudah memberikan segalanya atas padang, jadai saya tak boleh terima pengadilan seperit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan antara Sri Pahang FC dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, cara penggunaan VAR di Liga Malaysia juga boleh dipertikaikan walaupun dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan luas dalam bola sepak.
“Sudah pasti VAR tak baik, kita tidak tahu apa yang mereka bincangkan. Kalau di tempat lain (liga luar), mereka tunjukkan di skrin bukan hanya tayang video di dalam bilik VAR sahaja dan kita juga tak berpeluang nak tengok,” katanya.
Bagaimanapun, Fandi memuji aksi pemainnya yang berjaya mengekang Harimau Selatan daripada mencetak gol pada babak pertama dengan merantai pergerakan penyerang lawan iaitu Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Arif Aiman.
“Mungkin berlaku salah faham antara pemain pertahanan dan penjaga gol hingga kita bolos awal sebaik babak kedua bermula. Walaupun banyak bertahan, kita juga mempunyai peluang untuk mencipta gol namun JDT yang dibarisi ramai pemain berkualiti beraksi lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette