KULAI – Tertarik dengan keuntungan sehingga 120 peratus dalam masa tiga hari,seorang peniaga rugi RM544,200 diperdaya pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, insiden itu bermula apabila mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 45 tahun melihat satu akaun Facebook.
Selepas itu mangsa berkenaan dihubungi seorang wanita untuk masuk dalam satu kumpulan WhatsApp saham pelaburan sebelum diminta memuat turun satu aplikasi.
“Mangsa kemudian berminat untuk menyertai pelaburan saham tersebut yang menjanjikan keuntungan sebanyak 3 hingga 120 peratus dalam tempoh tiga hari.
“Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun milik mangsa yang didaftarkan menerusi aplikasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa membuat tujuh kali transaksi pembayaran berjumlah RM544,200 ke dalam empat akaun bank tempatan bermula 25 November hingga 12 Disember lalu.
Mangsa juga telah membuat semakan menerusi akaun miliknya dalam aplikasi tersebut dan mendapati keuntungan yang diperoleh RM9,396,194.
Apabila wanita tersebut cuba membuat pengeluaran wang dalam aplikasi tersebut, beliau berkata, akaun miliknya itu sudah disekat.
“Mangsa yang mengesyaki dirinya telah ditipu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai semalam untuk membuat laporan polis,” katanya.
Seng Lee memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga10 tahun dan sebatan serta denda.
“Pihak polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat,” katanya.
Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan khidmat dalam talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, semak mule dan mendapatkan maklumat terkini modus operandi jenayah komersil melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).- MalaysiaGazette