KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjangkakan hasil kutipan cukai taksiran meningkat daripada RM150.9 juta kepada RM191.9 juta pada tahun hadapan.
Timbalan Yang Dipertuanya, Muhamad Shah Osmin berkata, kenaikan itu hasil pelaksanaan nilaian baharu cukai taksiran yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari akan darang.
“Sebarang kenaikan cukai tidak akan melebihi 25 peratus daripada kadar sedia ada, termasuk untuk bangunan yang telah diubah suai.
“Jumlah pegangan keseluruhan dalam senarai nilaian baharu adalah sebanyak 171,396 unit, yang terdiri daripada 38,023 unit nilaian kali pertama dan 133,373 unit bagi pegangan sedia ada,” katanya.
Muhamad Shah turut menegaskan, pihaknya akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan selaras dengan kenaikan hasil cukai taksiran.
Pelbagai kemudahan seperti infrastruktur awam, jalan raya, lampu jalan, sistem perparitan dan taman awam akan disediakan bagi memastikan kawasan kediaman lebih selesa, bersih, dan selamat untuk didiami.
“Malah pelbagai projek telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun depan, termasuk cadangan pembangunan Kompleks Komuniti Dato’ Abu Bakar Baginda di Sungai Merab dengan peruntukan RM17.3 juta.
“Selain itu, pembinaan sebuah terminal bas tiga tingkat di Persiaran Multimedia, Cyberjaya dengan peruntukan RM12.2 juta serta penggantian kabel bawah tanah bagi sistem lampu awam di beberpa kawasan di sini,” ujarnya.
Tambah beliau, MPSepang juga akan menggunakan pendekatan berstruktur untuk memastikan projek yang dirancang terus memberi impak positif kepada rakyat.
“Ini adalah langkah signifikan dalam memperkukuhkan perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan kawasan pentadbiran MPSepang terus berkembang secara komprehensif dan menyeluruh,” tambahnya,