Netizen mengkritik dan mempersoalkan tindakan laman web penstriman berkenaan kerana menjemput Hot Daddy sebagai tetamu dan menyifatkan pihak berkenaan seolah-olah menyokong perbuatan tak bemoral yang dilakukan individu berkenaan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kontroversi dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ dan dua rakan wanitanya dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan pengiklanan khidmat persundalan, menjual rakaman video lucah dan memiliki bahan lucah.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan waran tangkap yang dikeluarkan pada prosiding sebelum ini gagal disempurnakan.

Selain ‘Hot Daddy’ atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, mahkamah turut melepas tanpa membebaskan dua rakannya, Norshazrina Md. Zamri dan Norhidayah Mahadi.

Siti Shakirah berpuas hati, usaha untuk mengesan tertuduh telah diberikan kepada pihak pendakwaan sebanyak tiga kali, namun waran tangkap masih gagal disempurnakan.

“Mahkamah juga merekodkan kesemua penjamin gagal hadir dan tidak dapat memberi sebarang penjelasan ketidakhadiran semua tertuduh sehingga hari ini.

“Oleh itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan ketiga-tiga tertuduh sehingga waran tangkap dapat disempurnakan,” kata hakim itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip berkata, waran tangkap yang dikeluarkan ke atas ketiga-tiga tertuduh tidak dapat disempurnakan dan mereka masih dalam tempoh pengesanan oleh pihak polis.

“Notis kepada penjamin telah diserahkan kepada penjamin-penjamin, namun penjamin tidak pernah hadir untuk memberi penjelasan ketidakhadiran tertuduh.

“Mohon waran tangkap dilanjutkan bagi mengesan kesemua tertuduh untuk mengetahui sama ada mereka berada di dalam atau luar negara dan proses ini akan mengambil masa,” katanya.

Peguam Razif Toha yang mewakili kesemua tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Mengikut pertuduhan, Hasli Ikhwan Arif, 32, Norshazrina, 27, dan Norhidayah, 24, didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan mengunakan aplikasi X NOTYOURDADDYY (@HOTDADDYYXX), yang menyebabkan orang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini pada 10.10 pagi 16 Januari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga turut didakwa atas pertuduhan menjual rakaman video lucah, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada 11.54 malam, 15 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Hasli Ikhwan dan Norhidayah turut berdepan pertuduhan memilik bahan lucah di pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman pada 4 petang, 22 Januari.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here