KUALA LUMPUR – Jumlah kutipan zakat aset digital Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah meningkat sebanyak 73 peratus bersamaan dengan RM25,983.91 pada tahun lalu.
Manakala pada awal tahun 2024 sehingga hari ini, PPZ-MAIWP telah mencatatkan kutipan sekitar RM44,991.97, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Menurut beliau, sistem baharu ini membolehkan umat Islam membayar zakat ke atas aset digital mereka seperti mata wang kripto dengan cara yang lebih mudah, selamat dan efisien.
“Memiliki nilai mata wang digital serta jika diniagakan, maka wajib dikeluarkan zakat perniagaan dengan kadar 2.5 peratus. Peningkatan ini jelas menunjukkan kesedaran mengenai zakat aset digital itu wujud dalam kalangan masyarakat.
“Pembayaran menggunakan mata wang kripto turut memastikan tiada golongan yang terlepas daripada menunaikan kewajipan zakat mereka tanpa mengira bentuk aset yang dimiliki,” katanya selepas Majlis Pelancaran Saluran Bayaran Zakat Aset Digital di Wisma PPZ di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hakim menambah, pembayaran zakat bagi aset digital kini diiktiraf sebagai harta yang wajib dizakatkan dan layak untuk mendapat tolakan atau rebat daripada cukai pendapatan individu.
“Aset ini termasuk mata wang digital, emas dan saham menjadikannya selaras dengan bentuk simpanan tradisional lain yang tertakluk kepada zakat.
“Oleh itu, individu digalakkan untuk melunaskan bayaran zakat sebelum 31 Disember bagi mendapatkan manfaat pengurangan cukai tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette