PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan secara terbuka memohon maaf kepada masyarakat susulan tindakannya merokok di kedai makan pada Ahad lalu.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau akan membayar jumlah kompaun yang akan dikenakan terhadap dirinya selepas mengesahkan telah menerima notis kesalahan dan kompaun daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban.
“Kalau ia menjadi kerisauan dan jadi isu kepada masyarakat saya mohon maaf.
“Kompaun saya bayar dan kena tunggu notis sebab mereka beri notis saman. Saya akan bayar harap tidak banyak sangat,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan daripada Malaysia kepada Palestin di bawah Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan di Wisma Putra hari ini.
Awal hari ini, Mohamad sendiri meminta agar Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberikan kompaun kepada dirinya susulan tindakannya merokok di kedai makan.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diarahkan untuk berjumpa Mohamad Hasan bagi menyerahkan notis kesalahan itu.
Dr Dzulkefly sebelum ini juga menegaskan tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika merokok dalam restoran.
Terdahulu, seorang pengguna laman sosial X yang menggunakan akaun @MsianInciter membuat ciapan bergambar menunjukkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO itu sedang merokok di kedai makan ketika berbual dengan empat lagi individu.
“Ingatkan kedai makan adalah kawasan larangan merokok, tapi Menteri Luar Negeri balik kawasan ‘berasap’ di kedai makan relax (santai) saja,” ciapnya.
Ciapan itu kemudiannya mendapat respon daripada Dr. Dzulkefly yang kemudiannya memaklumkan tindakan itu menyalahi Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024).
“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang’,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tular pegang rokok di tempat awam, Tok Mat sendiri minta dikompaun – KKM