KUALA LUMPUR – Pemandu sebuah kereta utiliti sukan (SUV) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melanggar seorang penunggang motosikal sehingga cedera parah baru-baru ini berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.
Sebaliknya, tertuduh, Sum Kah Fei yang berusia 34 tahun memohon untuk dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Haneefa Ariffin hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah memandu secara melulu sehingga berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal.
Ia menyebabkan penunggang, Muhammad Nur’faiz Saini @ Ausaini, 34, mengalami cedera parah di Lebuh Raya Setiawangsa Pantai Expressway (SPE) dari arah Pusat Bandaraya ke arah Plaza Tol Wangsa Maju di sini, pada pukul 12.35 tengah hari, 15 Disember lalu.
Jika sabit salah mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 termasuk hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen memandu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa gagal memberhentikan kenderaan tersebut apabila berlaku kemalangan dengan mangsa di lokasi dan masa sama.
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta yang sama dan membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, ia boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya jika sabit salah.
Pendakwaan kemudian mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua kes manakala peguam mewakili tertuduh, Quek Kia Ping pula memohon wang jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya perlu menyara anak dan isteri.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dan sebutan kes pada 24 Februari 2025.
Pada 15 Disember lalu, tular di media sosial tindakan seorang pemandu kenderaan mewah melanggar lari selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 18, Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE) membawa padah apabila kenderaannya terbakar tidak lama kemudian.
Pemandu itu dilaporkan sebelum itu telah melanggar penunggang motosikal jenis Honda Vario 160 yang sedang bergerak lurus di lorong kiri berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, pemandu itu bagaimanapun tidak berhenti selepas pelanggaran dan meninggalkan penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah. – MalaysiaGazette