Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama sasterwawan negara pada majlis Manifestasi Tiga Seni di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 DISEMBER 2024

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini menghadiri majlis Malam Manifestasi Tiga Seni yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Progam julung kali itu dianjurkan DBP dengan kerjasama MIK & Bell Production Sdn. Bhd. dan Edaran IT Services Sdn. Bhd..

Majlis itu menyaksikan tiga acara utama dipersembahkan iaitu pameran karya seni halus daripada tujuh seniman visual tempatan, deklamasi puisi oleh tokoh-tokoh sastera negara serta persembahan muzik daripada artis terkenal tanah air.

Sepanjang hampir dua jam majlis itu berlangsung, Anwar dan kira-kira 500 hadirin dihiburkan dengan penyampaian deklamasi puisi oleh tokoh sasterawan negara dan nyanyian oleh artis terkenal tanah air.

Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis Manifestasi Tiga Seni di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 DISEMBER 2024

Antara yang menyampaikan puisi ialah barisan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan; Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari serta Sasterawan Negeri Sarawak, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.

Majlis tersebut turut menyaksikan kemunculan istimewa Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menyampaikan puisi menerusi tontonan video.

Antara artis tempatan yang menyumbangkan lagu pada majlis itu pula ialah Datuk Ramli Sarip, Asmidar dan Azizul Haqim.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berkata, sejak awal penubuhannya, DBP sentiasa menjadi pilihan utama untuk para seniman dan budayawan berkumpul dan mempersembahkan bakat masing-masing kepada khalayak.

Ujarnya, berbagai acara seni dan budaya telah diadakan di balai keramat DBP dan sehingga kini agensi itu masih lagi menjadi pilihan untuk acara ilmu, seni dan budaya yang secara tidak langsung dapat memperkembangkan bahasa dan persuratan Melayu kepada masyarakat.

Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim beramah mesra sebahagian tetamu yang hadir pada majlis Manifestasi Tiga Seni di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 DISEMBER 2024

“Seni dan budaya memainkan þeranan unik dalam memperkukuh hubungan antara pelbagai kumpulan etnik dan membentuk asas bagi identiti nasional.

“Persembahan seni seperti deklamasi puisi, muzik atau pameran seni kontemporari memberi ruang kepada semua kumpulan masyarakat untuk mengekspresikan diri mereka,” katanya.

Tambah beliau, majlis malam ini juga merupakan suatu kesimpulan yang mana para seniman harus mengorak langkah memberi contoh, menjalin kesatuan dan perpaduan dalam kerangka integrasi nasional yang lebih luas.

“Pelukis dengan bancuhan medium pancawarna, deklamator dengan pelbagai intonasi dan gaya, serta penyair yang mengolah kosa kata dan metafora, dipertemukan dalam acara Manifestasi Tiga Seni,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here